AGAMA

Definisi Tayammum

Tayammum dari segi bahasa ialah القصد (sengaja). (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984: 560) Pengertian ini diambil dari firman Allah S.W.T: (Al-Baqarah: 267)

Maksudnya:
” Dan janganlah kamu ‘sengaja’ memilih buruk daripadanya, lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat. ”

Dengan pengertian ini juga, penyair berkata:

Maksudnya:
” Aku ‘menyengaja’ kepada kamu jika tidak aku dapati orang yang mempunyai akal fikiran. Dan barangsiapa tidak mendapati air bertayammumlah dengan tanah.”

Manakala dari segi istilah Syara’, tayammum bermaksud ‘menyengaja’ atau menghendaki pada tanah untuk menyapu muka dan dua tangan dengan niat yang mengharuskan solat. (Al-Syeikh Hassan Ayub. 1422H/2002 : 61) Di dalam Kamus Istilah Fiqh pula mendefinisikan tayammum iaitu menyapukan debu atau tanah ke wajah dan kedua tangan hingga kedua siku dengan beberapa syarat, yang berfungsi sebagai pengganti wudhuk atau mandi sebagai rukhsah (kemudahan) bagi mereka yang berhalangan atau tidak dapat menggunakan air. (M. Abd. Mujieb, Mabruri Tholhah, Syafi’iyah Am. 1997: 382-383)

Tayammum dari segi istilah Syara’ juga telah diberikan pelbagai pentakrifan oleh para Fuqaha’ dengan istilah yang seakan-akan hampir maksudnya. Imam Hanafi mentakrifkan tayammum iaitu menyapu muka dan kedua-dua tangan dengan tanah yang bersih. Berkata Imam Malik pula tayammum bererti bersuci menggunakan tanah atau debu yang meliputi dengan menyapu muka dan kedua-dua tangan dengan niat. Manakala Imam Syafi’e pula mentakrifkan tayammum iaitu menyampaikan atau menyapukan tanah kepada muka dan dua tangan sebagai ganti kepada wudu’ atau mandi janabah atau seumpamanya dengan syarat-syarat yang tertentu. Mengikut pendapat Abu Hanifah pula tayammum ialah menyapu muka dan dua tangan dengan tanah yang bersih di atas jalan yang tertentu. (Dr. Wahbah al-Zuhaili. 1984 : 560-561)

Dalam terminologi fiqh tayammum diertikan dengan menyampaikan tanah ke muka dan dua tangan sebagai ganti daripada wudhu dan mandi dengan syarat-syarat yang tertentu. Tayammum merupakan spesifik umat Islam yang disyari’atkan pada peperangan Bani Mustaliq tahun keenam hijrah. Ketika itu Aisyah kehilangan kalungnya, lalu Rasulullah S.A.W mengutus orang mencarinya, kemudian waktu solat datang sedangkan air tidak ada, maka turunlah ayat tayammum. (Dr. A. Rahman Ritonga, Dr. Zainuddin Tanjung. 1999: 79) Ini berdasarkan hadis: (Riwayat al-Bukhari, (b) 332: 200)

Maksudnya:
” Dari Aisyah bahawasanya ia meminjam kalung dari Asma’, lalu kalung itu hilang. Kemudian Rasulullah S.A.W mengutus seseorang (untuk mencarinya), akhirnya kalung tadi dapat ditemukan. Lalu waktu solat tiba dan tidak ada air di sana. Mereka solat (tanpa wudu’) dan memberitahukan kepada Rasulullah S.A.W. Maka Allah menurunkan ayat-ayat tayammum”. Usaid bin Hudhair berkata kepada Aisyah: ” Semoga Allah melimpahkan pahala kebaikan bagimu. Demi Allah, apabila sesuatu hal terjadi padamu padahal engkau tidak menyukainya, Allah menjadikan hal itu mengandung kebaikan bagimu dan bagimu kaum muslimin.”